feqh muamalat

Istilah Kewangan Islam sebagai Panduan Anda


Pengenalan
Istilah Kewangan Islam sebagai Panduan Anda Pengenalan Dokumen ini mengandungi glosari istilah Mu’amalat yang paling kerap dan biasa digunakan dalam perniagan perbankan Islam..

Bai' Urbun Bai’ Bithaman 'Ajil Bai’ Murabahah Bai’ Inah Bai’ Dayn
Bai’ Istijrar Bai’ Istisna’ Bai’ Muzayadah Bai’ Salam Bai’ Wafa’
Batil Darurah Dhamanah Fasid Fatwa Gharar Ghish Hadith Halal
Haram Haq Maliy Hibah Hiwalah Ibra’ Ijarah Ijarah Thumma Bai’
Ijtihad Syirkah ‘Inan Jahl Jua’lah Kafalah Khiyanah Maisir Mal
Muamalat Mudarib Mudharabah Muqasah Musaqah Musawamah
Musharakah Musharakah Mutanaqisah Muzara’ah Qabadh Qardh
Qardh Hasan Quran Rabbul Mal Rahnu Riba Sadaqah Sarf Shariah
Suftajah Sukuk Sunnah Ta’widh Tadlis al-‘aib Takaful Tanajush
Tawarruq Ujrah ‘Uqud Ishtirak ‘Uqud Mua’wadat ‘Uqud Tabarru’at
Usul Fiqh Wadī’ah Wakalah Waqf Zakat

Istilah

Makna

Bai’ Urbun
بيع العربون

Suatu perjanjian jualan di mana wang cagaran dibayar terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada pembayaran harga aset jika kontrak berterusan hingga selesai. Wang cagaran ini akan hilang jika pembeli tidak memenuhi kewajipan memuktamadkan pembelian aset. Wang cagaran yang hilang dianggap sebagai hibah (هبة/hadiah) kepada penjual.

Bai’ Bithaman 'Ajil
بيع بثمن آجل

Suatu kontrak jualan berdasarkan bayaran tertunda (bai' nasiah/ بيع النسيئة) dan ansuran (bai' bit taqsid/ (بيع بالتقسيط ) di dalam satu tempoh pembayaran yang dipersetujui.

Bai’ Murabahah
بيع المرابحة

Suatu kontrak jualan berdasarkan tokok kos dengan kos pemerolehan dan margin keuntungan penjual didedahkan kepada pembeli semasa kontrak dimetrai. Biasanya, penyelesaian harga dibuat mengikut terma pembayaran tertunda, iaitu bai’ bithaman ‘ajil.

Bai’ Inah
بيع العينة

Satu kemudahan pembiayaan yang melibatkan dua kontrak jual beli yang berasingan pada aset yang sama dan ia boleh berbentuk dua pengaturan yang berikut:

1. Pembiaya menjual aset kepada pelanggan mengikut terma pembayaran tertunda. Sebaik sahaja selepas itu, pembiaya membeli semula aset yang sama daripada pelanggan secara tunai pada harga yang lebih rendah daripada jualan pembayaran tertunda

2. Pembiaya membeli aset daripada pelanggan secara tunai. Sebaik sahaja selepas itu, pembiaya menjual balik aset yang sama kepada pelanggan secara pembayaran tertunda pada harga yang lebih tinggi daripada jualan tunai.

Bai’ Dayn
بيع الدين

Ia merujuk pada pembelian dan penjualan instrumen hutang seperti sijil, saham, dokumen perdagangan dan sekuriti dalam pasaran sekunder yang patuh pada kehendak Syariah. Pada dasarnya, kesemua dokumen ini dikeluarkan oleh penghutang kepada pemiutang sebagai bukti keberhutangan (syahadah al-dayn/ ) Bai’ Dayn terjadi apabila pemiutang menjual dokumen hutang kepada pihak ketiga. Hanya dokumen hutang yang terbukti benar ((الدين الثابت/dayn thabit), iaitu hutang yang berpunca daripada transaksi perniagaan "sebenar“ boleh diniagakan.

Bai’ Istijrar
بيع الإستجرار

Suatu kontrak antara pembekal dengan pelanggan di mana pembekal membekalkan barangan tertentu secara berterusan mengikut mod pembayaran yang telah dipersetujui sehingga mereka menamatkan kontrak tersebut. Ia sama digunakan untuk kontrak antara pemborong dengan peruncit bagi membekalkan sejumlah aset yang telah dipersetujui.

Bai’ Istisna’
بيع الإستصناع

Suatu kontrak pesanan belian di mana pembeli mengarahkan penjual menyediakan aset mengikut spesifikasi yang terdapat dalam kontrak pembelian untuk diserahkan pada suatu tarikh masa depan tertentu. Pembayaran harga pembelian adalah mengikut terma dan syarat yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Bai’ Muzayadah
بيع المزايدة

Jualan aset kepada orang ramai melalui proses pembidaan dalam kalangan bakal pembeli dan aset dijual kepada pembida tertinggi. Biasanya, ia dikenali sebagai jualan lelong.

Bai’ Salam
بيع السلم

Suatu kontrak di mana pembayaran harga dibuat sepenuhnya terlebih dahulu semasa kontrak dimetrai supaya aset dapat diserahkan kemudian pada suatu tarikh masa depan. Kualiti aset yang dirancang untuk dibeli perlu ditetapkan sepenuhnya tanpa meninggalkan kesamaran yang boleh mendorong kepada pertikaian. Barangan yang dijual merupakan aset biasa, bukannya emas, perak atau mata wang yang dianggap sebagai pertukaran nilai kewangan yang tertakluk di bawah peraturan Bai’ al Sarf, iaitu pertukaran bersama dari tangan ke tangan tanpa lengah. Mod pembiayaan ini sering digunakan dalam sektor pertanian, di mana bank mendahulukan wang bagi pembelian pelbagai input pengeluaran bagi mendapatkan saham dalam tanaman tersebut, yang kemudiannya dijual.

Bai’ Wafa’
بيع الوفاء

Suatu kontrak dengan syarat bahawa apabila penjual membayar balik harga aset yang telah terjual itu, pembeli memulangkan semula aset tersebut kepada penjual. Ia merupakan bai’ (penjualan) dari segi bentuk (رهن/ rahn) tetapi jaminan dari segi isi.

Batil
باطل

Batal dan tak sah.

Darurah
ضرورة

Darurat. Ketika dalam darurat, orang Islam boleh dikecualikan daripada aspek undang-undang Syariah bagi mempertahankan iman, nyawa, harta benda, daya fikir dan generasi pada masa akan datang.

Dhamanah
ضمانة

Suatu kontrak di mana seseorang menaja jamin tuntutan atau kewajipan yang perlu dipenuhi oleh penghutang, pembekal atau kontraktor. Sekiranya penghutang, pembekal atau kontraktor gagal memenuhi kewajipan mereka, penjamin wajib bertanggungjawab bagi memenuhi kewajipan itu.

Majoriti para fuqaha berpendapat bahawa dhamanah adalah serupa dengan kafalah.

Fasid
فاسد

Tidak kukuh dan tidak berdaya maju. Dalam sesuatu kontrak, keadaan fasid akan menyebabkan kontrak tidak sah.

Fatwa
فتوى

Suatu pendapat atau pengumuman mengenai Syariah yang dikemukakan oleh sekumpulan cendekiawan Islam (fuqaha) yang cukup berkelayakan dan berpengetahuan dalam kaedah mengeluarkan fatwa serta mantap dalam disiplin perundangan Islam (usul fiqh). Dari segi amalan dan bergantung pada bidang kuasa, fatwa juga boleh dirujuk sebagai “peraturan”, “edik” dan “pendapat”.

Di Malaysia, hanya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa, sementara Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Syariah setiap bank hanya mempunyai kuasa mengumumkan “keputusan”.

Gharar
غرر

Fakta atau keadaan yang tidak diketahui. Dalam urus niaga komersial, gharar yang berlebih-lebihan/ utama ((غرر فاحش/gharar fâhish), contohnya fakta atau keadaan sama ada pihak yang mengikat kontrak atau aset yang terdapat dalam kontrak atau harga aset tidak diketahui atau tidak dimaklumkan kepada pihak yang mengikat kontrak mengakibatkan sesuatu kontrak itu batal dan tak sah.

Ghish
غش

Penipuan, fraud dan pendayaan. Kesemua ini adalah dilarang oleh Syariah.

Hadith
حديث

Sabda (kata-kata), perbuatan dan pengesahan oleh nabi Muhammad SAW. Hadis juga dirujuk sebagai Sunnah.

Halal
حلال

Sah atau dibenarkan. Konsep halal mempunyai nada kerohanian. Dalam Islam terdapat kegiatan, profesion, kontrak dan urus niaga yang dengan jelas dilarang (diharamkan) oleh Syariah. Semua kegiatan, profesion, kontrak dan urus niaga yang lain adalah halal.

Konsep halal itu membezakan antara ekonomi Islam dengan ekonomi konvensional. Dalam ekonomi konvensional kesemua kegiatan adalah dinilai mengikut utiliti ekonomi. Dalam ekonomi Islam, faktor kerohanian dan moral juga diambil kira, di mana sesuatu kegiatan nampak baik dari segi ekonomi tetapi mungkin tidak dibenarkan jika ditegah oleh Syariah.

Haram
حرام

Menyalahi undang-undang atau ditegah. Kegiatan, profesion, kontrak atau urus niaga yang dengan jelas dilarang oleh Syariah.

Haq Maliy
حق مالي

Merujuk pada hak atas asset. Contoh hak tersebut ialah haq dayn (hak untuk menuntut hutang) dan haq tamalluk (hak pemilikan).

Hibah
هبة

Hadiah yang dianugerahkan kepada seseorang secara suka rela atau sesuatu diberikan kepada individu tanpa pertukaran.

Hiwalah
حوالة

Suatu kontrak pemindahan tanggungjawab hutang seorang penghutang kepada pihak ketiga.

Ibra’
إبراء

Memberikan hak. Dalam urus niaga komersial, pemiutang memberikan sebahagian atau semua haknya kepada penghutang, biasanya untuk penyelesaian awal hutang itu. Beberapa cendekiawan (fuqaha) berpendapat bahawa Ibra’ adalah serupa dengan rebat.

Walau bagaimanapun, di bank-bank Islam, konsep ini digunakan dalam konteks yang lebih luas seperti dalam pelaksanaan produk kadar terapung dengan harga jualan yang ditetapkan.

Ijarah
إجارة

Suatu kontrak di mana pemberi pajak (pemilik aset) menyewakan aset kepada pelanggan/pemajak pada kadar sewa yang dipersetujui dan tempoh pajakan ditetapkan terlebih dahulu sebelum ‘aqd (kontrak). Pemilikan harta tanah kekal dengan pemberi pajak, sementara pemajak hanya memiliki hak penggunaan harta tanah tersebut.

Ijarah Thumma Bai’
إجارة ثم البيع

Merujuk pada kontrak Ijarah (pajakan) yang akan diikuti oleh kontrak bai’ (jualan). Di bawah kontrak pertama, pemberi pajak menyewakan aset kepada pemajak pada kadar sewaan yang telah dipersetujui sepanjang tempoh yang ditetapkan. Menjelang tiba tamat tempoh pajakan, pemajak mengikat kontrak kedua untuk membeli harta tanah daripada pemilik pada harga yang telah dipersetujui.

Dalam bidang kuasa tertentu, Ijarah Thumma Bai’ digelar Ijarah Muntahiah Bit-Tamlik.

Ijtihad
اجتهاد

Pakar undang-undang (faqih) berusaha merumuskan peraturan atau keputusan menurut undang-undang (hukum) dengan memberi tafsiran bukti (dalil) yang terdapat dalam sumber Syariah.

Syirkah ‘Inan
شركة العنان

Perkongsian kewangan.

Jahl
جهل

Kejahilan.

Jua’lah
جعالة

Satu kontrak sehala yang menjanjikan hadiah atas penyempurnaan sesuatu tugas khas.

Kafalah
كفالة

Merujuk pada Dhamanah.

Khiyanah
خيانة

Pecah amanah, pengkhianatan atau pembelotan yang jelas dilarang oleh Syariah.

Maisir
ميسير
or
Qimar
قمار

Perjudian. Sebarang kegiatan yang melibatkan pertaruhan, yang membabitkan wang atau apa-apa perkara mengenai hasil daripada peristiwa yang tidak boleh dijangkakan. Pertaruhan akan hilang jika hasilnya tidak seperti yang dijangkakan oleh pembuat pertaruhan dan sebaliknya individu penerima pertaruhan mendapat pertaruhan itu. Sememangnya, kegiatan ini jelas dilarang oleh Syariah.

Mal
مال

Sebarang keinginan semulajadi manusia, dan boleh disimpan untuk keperluan akan datang; yang mempunyai kegunaan khusus atau am dan dibenarkan oleh Syariah bagi tujuan mendapatkan manfaat daripadanya.

Muamalat
معاملات

Transaksi ekonomi dalam kalangan manusia.

Mudarib
مضارب

Usahawan dalam kontrak mudharabah.

Mudharabah
مضاربة

Suatu perjanjian antara pemodal (rabbul mal) yang memberi 100% modal untuk perniagaan dengan usahawan (mudharib) yang menguruskan perniagaan dengan menggunakan kepakarannya. Di bawah kontrak ini, keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan antara mereka mengikut nisbah yang dipersetujui sebelumnya, sementara sebarang kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pemodal.

Muqasah
مقاسة

Penyelesaian hutang mengikut urus niaga kontra atau tolak selesai.

Musaqah
مساقة

Kontrak pertanian di mana pemilik tanah pertanian berkongsi pengeluaran dengan individu lain sebagai pulangan atas khidmatnya mengairi kebun itu.

Musawamah
مساومة

Sejenis jualan am di mana terdapat tawar menawar dalam harga komoditi yang akan didagangkan antara penjual dengan pembeli tanpa sebarang rujukan terhadap kos perolehan yang ditanggung oleh penjual.

Musharakah
مشاركة

Suatu kontrak ke arah perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk menyumbang modal dalam pelbagai perkadaran. Keuntungan yang dijana oleh perkongsian dibahagikan mengikut terma kontrak musyarakah, manakala kerugian dikongsi mengikut perkadaran bahagian sumbangan masing-masing kepada modal.

Musharakah Mutanaqisah
مشاركة متناقصة

Musyarakah berkurangan; membenarkan penyertaan ekuiti dan perkongsian untung mengikut nisbah yang ditetapkan sebelumnya, dan perkongsian kerugian mengikut bahagian tertentu. Ini menyediakan kaedah, dengan melaluinya bank boleh terus mengurangkan ekuitinya dalam aset itu, yang akhirnya memindahkan pemilikan aset tersebut kepada pelanggan/ rakan kongsi. Kontrak ini menyediakan pembayaran untuk membeli saham ekuiti yang dipegang oleh bank, selain daripada keuntungan yang dibayar kepada bank. Secara serentak, pelanggan membeli sebahagian daripada ekuiti bank, dari semasa ke semasa mengurangkannya sehingga bank tidak mempunyai ekuiti dan ini mengakibatkan perkongsian berakhir.

Muzara’ah
مزارعة

Suatu kontrak pertanian di mana individu mengerjakan tanah milik individu lain dengan mendapat pulangan mengikut bahagian hasil tanah itu.

Qabadh
قبض

Qabadh bermaksud mengambil pemilikan dalam kontrak pertukaran (‘uqud mu’awadhat). Pada amnya, qabadh diamalkan berdasarkan urf, iaitu amalan biasa komuniti tempatan dalam mengiktiraf cara pemilikan sesuatu aset berlaku. Qabadh berbeza mengikut jenis aset.

Qardh
قرض

Pinjaman

Qardh Hasan
قرض الحسن

Merujuk pada pinjaman ihsan, iaitu satu kontrak pinjaman antara dua pihak tanpa caj tambahan selain daripada pinjaman itu. Sebarang tambahan pembayaran yang dikenakan oleh pemberi peminjam atau janji yang dibuat oleh peminjam adalah dilarang. Walau bagaimanapun, peminjam dibenarkan membayar lebih atas budi bicara beliau sepenuhnya sebagai tanda penghargaan.

Quran
قرءان

Kitab suci Islam, iaitu firman Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab yang disampaikan melalui malaikat Jibril AS.

Rabbul Mal
رب المال

Pelabur atau pemodal dalam kontrak mudharabah.

Rahnu
رهن

Menjadikan aset sebagai jaminan atau cagaran terhadap hutang. Cagaran akan digunakan untuk menyelesaikan hutang apabila penghutang ingkar. Cagaran juga akan digunakan sebagai satu nama sejenis pinjaman dengan cagaran atau perniagaan pajak gadai.

Riba
ربا

Peningkatan dalam transaksi pinjaman atau pertukaran aset ribawi, terakru kepada pemilik (pemberi pinjaman atau penjual) tanpa memberi nilai kaunter yang setara atau pampasan sebagai pulangan kepada pihak yang satu lagi. Riba adalah dilarang menurut Syariah.

Dalam pemberian pinjaman, terdapat lebihan pembayaran dikenakan oleh pemberi pinjaman atau janji oleh peminjam selain daripada pinjaman (dikenali sebagai riba qardh)

Dari segi perdagangan, ia lebih merupakan perbezaan dalam berat dalam pertukaran emas mengikut sukatan ketulenan berbeza, contohnya 10 gram daripada 750 emas dengan 8 gram daripada 835 emas (dikenali sebagi riba fadhl); atau perbezaan dari segi masa antara pembayaran dengan penyerahan dalam kadar pertukaran mata wang asing, contohnya pembayaran atau RM10,000 pada 1 Januari 2008 dan penghantaran USD3,800 pada 2 Januari 2008 (dikenali sebagai riba nasiah).

Sadaqah
صدقة

Pemberian amal secara suka rela.

Sarf
صرف

Satu kontrak pembelian dan penjualan mata wang.

Shariah
شريعة

Undang-undang Islam berkaitan dengan semua aspek kehidupan manusia yang ditetapkan oleh Allah kepada hambanya. Undang-undang ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu undang-undang yang berkaitan dengan kepercayaan (akidah), undang-undang yang berkaitan dengan ibadat (fiqh) dan yang berkaitan dengan etika (akhlaq) Berdasarkan makna ini, Syariah juga merupakan perkataan lain untuk Islam.

Suftajah
سفتجة

Bil Pertukaran.

Sukuk
صكوك

Bon bersandarkan aset yang berstruktur mengikut prinsip Syariah. Sukuk menandakan pemilikan aset semasa mengikut kadar yang tak dibahagi. Kebanyak bon ini boleh didagangkan dalam pasaran, bergantung pada bagaimana bon-bon ini distrukturkan; pada tara, premium atau diskaun.

Sunnah
سنة

Merujuk pada Hadis.

Ta’widh
تعويض

Pampasan yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang mengikat kontrak sebagai pembayaran yang boleh dituntut oleh pemiutang apabila penghutang ingkar dalam pembayaran hutang mereka.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia membuat keputusan bahawa ta’widh boleh dikenakan atas penghutang ingkar yang gagal memenuhi tanggungjawabnya membayar pembiayaan berdasarkan keadaan-keadaan yang berikut:

i. Amaun ta’widh tidak boleh melebihi kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya;

ii. Penentuan pampasan dibuat oleh pihak ketiga, iaitu Bank Negara Malaysia; dan

iii. Keingkaran atau penangguhan bayaran disebabkan oleh kelalaian di pihak penghutang.

Tadlis al-‘aib
تدليس العيب

Tindakan penjual yang dengan sengaja menyembunyi kecacatan (kerosakan) barangan yang jelas dilarang oleh Syariah.

Takaful
تكافل

Insurans patuh Syariah, iaitu satu pelan perlindungan berdasarkan kehendak Syariah (konsep saling berkongsi dan melindungi antara satu sama lain melalui sumbangan kepada satu kumpulan dengan mengambil kelebihan kumpulan yang besar).Seseorang individu itu akan menjadi peserta dengan melaksanakan kontrak tabarru dan membuat sumbangan penyertaan (tabarru) ke dalam dana takaful umum di mana beliau membenarkan carumannya digunakan bagi membantu peserta-peserta lain apabila mereka ditimpa musibah yang tertentu. Kontrak komersial mudharabah dan wakalah digabungkan ke dalam kontrak tabarru’ bagi meningkatkan saiz dana takaful.

Tanajush
تناجش

Suatu konspirasi antara penjual dengan pembeli di mana penjual sanggup menjual aset pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Ini dilakukan supaya pihak lain akan terburu-buru untuk membeli aset itu pada harga yang lebih tinggi, dan hasilnya penjual mendapat keuntungan yang besar. Kegiatan ini sememangnya jelas dilarang oleh Syariah.

Tawarruq
تورق

Ia merupakan pembelian satu komoditi (iaitu, kandungan tawarruq) berasaskan perbayaran tertunda, sama ada secara bai' musawamah atau bai’ murabahah. Kemudiannya, komoditi itu dijual secara tunai kepada pihak lain selain daripada penjual asal.

Dalam pembiayaan peribadi, seseorang pelanggan membeli satu komoditi daripada bank berasaskan pembayaran tertunda dan dengan segera menjual semula komoditi itu kepada pihak ketiga untuk mendapatkan wang tunai (wariq). Dengan cara ini, pelanggan boleh mendapatkan wang tunai tanpa mengambil pinjaman berasaskan faedah.

Ujrah
أجرة

Suatu pembayaran untuk manfa’ah, iaitu usufruk atas penggunaan harta benda orang lain. Istilah lain yang berkaitan dengan ujrah ialah ajr (jamak ujur) yang merujuk pada pembayaran untuk sesuatu perkhidmatan. Ujrah juga berhubung kait dengan gaji, upah, bayaran, fi, caj, pendaftaran, honorarium, ganjaran, anugerah dan lain-lain.

‘Uqud Ishtirak
عقود الإشتراك

Kontrak penyertaan atau perkongsian.

‘Uqud Mua’wadat
عقود المعاوضات

Kontrak pertukaran.

‘Uqud Tabarru’at
عقود التبرعات

Kontrak hadiah atau derma.

Usul Fiqh
فقه

Juga disebut perundangan Islam, iaitu disiplin ilmu dan kaedah memahami dan mentafsir Syariah.

Wadī’ah
وديعة

Jagaan selamat. Asalnya, jagaan selamat dirujuk sebagai wadi’ah yad amanah, iaitu jagaan pemegang amanah. Menurut Syariah penjaga pemegang amanah mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta tanah yang dipegang badan amanah.

Wadī’ah yad amanah berubah kepada wadi’ah yad dhamanah (jagaan terjamin) apabila penjaga pemegang amanah mencabuli syarat untuk melindungi harta benda itu. Kemudian, beliau (penjaga) perlu menjamin harta benda tersebut.

Wakalah
وكالة

Suatu kontrak pelantikan ejen di mana seseorang individu melantik seseorang yang lain untuk bertindak bagi pihak beliau.

Waqf
وقف

Amanah endowmen dan khairat yang diwujudkan untuk tujuan yang berkaitan dengan Islam (biasanya untuk pendidikan, masjid, atau untuk orang miskin). Waqf melibatkan tambatan harta benda untuk selama-lamanya supaya harta itu tidak boleh dijual, diwarisi, atau didermakan kepada sesiapa.

Zakat
زكاة

Satu tanggungjawab agama melalui pemberian zakat kepada orang Islam dengan jumlah tertentu daripada harta kekayaan mereka setiap tahun kepada salah satu daripada lapan kategori orang Islam yang serba kekurangan (asnaf). Matlamatnya adalah untuk mengambil sebahagian daripada kekayaan orang berada untuk diagihkan dalam kalangan asnaf. Menurut Syariah, zakat mensucikan harta kekayaan dan jiwa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SANAH HELWA YA ZAUJI HABIBI..

apa itu Kelab Setia?