menjaga adik-adik ketika ibu ayah ke luar negara..pentingnya komunikasi...

Antara artikel-artikel "Pentingnya Komunikasi dengan Anak-anak"
ALHAMDULILLAH mempunyai ibu ayah yang memahami jiwa anak remajanya dan anak-anak kecilnya..lepas baca artikel-artikel dibawah baru ku faham berbeza-berbeza cara komunikasi dengan anak-anak yang berlainan usia.

Alam remaja merupakan suatu proses perkembangan fizikal yang dilalui oleh setiap manusia dan proses perkembangan ini mengalami perubahan-perubahan yang membawa pengaruh besar terhadap perkembangan fizik, mental dan juga sosial. Oleh sebab itu, ibu bapa seharusnya memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih optimal kepada anak remaja.

Remaja dan permasalahanya memang tidak dapat dipisahkan. Hal ini menjadi bertambah rumit bagi sesetengah ibu bapa kerana sukar untuk memahami dan berkomunikasi dengan anak remaja mereka.

Kebanyakan ibu bapa merasakan mereka sudah menjalankan tanggungjawab dan memberikan perhatian yang sewajarnya tetapi bagi remaja itu masih belum cukup.

Komunikasi membawa maksud suatu proses penyampaian fikiran dan perasaan melalui bahasa, mendengar, bicara gerak tubuh dan ungkapan emosi. Melalui komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja diharapkan dapat melahirkan hubungan seimbang dan harmoni sehingga dapat membentuk suasana keterbukaan dan saling mendengar antara ibu bapa dengan anak remaja terutama sekali apabila mereka menghadapi masalah.

Berkomunikasi dengan sesiapa pun termasuk dengan anak sendiri memerlukan teknik dan cara yang berkesan agar nasihat dan pesanan yang akan kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh anak.

Oleh hal yang demikian, ada beberapa cara yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila berkomukasi dengan anak remaja.

Pertama, sebagai ibu bapa mereka perlu membina suatu hubungan yang rapat dengan anak remaja supaya apabila berkomunikasi nanti mereka dapat menerima dan memahami maksud yang ingin disampaikan.

Kebanyakan ibu bapa sering merasakan diri mereka lebih tahu segalanya sehingga menyebabkan berlaku beberapa perkara seperti:
• Lebih banyak bicara daripada mendengar
• Merasa tahu lebih banyak daripada anak
• Cenderung memberi arahan dan nasihat
• Tidak berusaha untuk mendengar dulu apa yang sebenarnya terjadi dan yang dialami oleh anak
• Tidak memberi kesempatan agar anak mengemukakan pendapat
• Tidak dapat menerima dan memahaminya masalah yang dialami oleh anak
• Cepat berputus asa dan marah kerana tidak dapat mengawal tingkah laku remaja
Oleh itu, sebagai ibu bapa mereka perlu mengetahui cara berkomunikasi dengan remaja, antaranya:
• Menjadi pendengar yang setia supaya remaja ingin meluahkan masalah mereka kepada kita
• Menerima dan memahami perasaan remaja bila mereka menghadapi sesuatu situasi sama sedih, gembira, marah, sakit hati dan lain-lain
• Memberikan nasihat yang dapat membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah yang mereka hadapi

Kedua, sebagai ibu bapa, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini remaja selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat mereka sendiri. Sewajarnya ibu bapa perlu mengenal diri sendiri dan mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka ketika berkomunikasi dengan anak remaja antara perkara yang boleh diperhatikan ialah:
• Mengenalpasti kemampuan dan kelebihan yang dimiliki ketika berbicara dengan anak remaja
• Memperbaiki kelemahan atau kekurangan yang dirasakan tidak sesuai digunakan ketika berinteraksi dengan anak
• Cuba meningkatkan kemahiran dan kelebihan berkomunikasi dengan menghadiri krusus yang berkaitan dengan keibubapaan dan cara berkomunikasi dengan berkesan untuk menutupi kekurangan diri

Selain itu, ibu bapa juga harus mengenali diri anak remaja. Jika diperhatikan dengan mendalam remaja lazimnya mempunyai konsep diri yang unik dan ini penting bagi ibu bapa untuk memahami dan memiliki pengetahuan tentang sikap, emosi dan perubahan serta gaya hidup remaja. Antara yang perlu difahami oleh ibu bapa ialah:

1. Memahami perasaan remaja
Masalah dalam berkomunikasi dengan remaja sering terjadi disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan anak. Untuk mendapat komunikasi yang lebih efektif, ibu bapa perlu meningkatkan kemampuannya dan mencuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

2. Mengetahui perasaan apa yang sering menimpa remaja
Remaja selalunya akan mengalami masalah berkaitan dengan perasaan seperti:
a) Perasaan yang berunsur negatif sering menjadi faktor penghalang komunikasi
Marah, kesal, malas, bosan, bingung, kecewa, merasa tidak atau kurang mendapat perhatian, terkejut, ragu-ragu, tidak selesa, serta merasa kurang kasih sayang terutama daripada ibu bapa dan orang yang terdekat dengan remaja tersebut.
b) Perasaan yang berunsur baik atau positif juga wujud dalam diri remaja
Berani, puas, yakin pada kemampuan, gembira, berminat, bangga, hebat, rajin.

Perasaan memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi, kerana jika seseorang mengalami perasaan atau situasi gembira ini akan memudah mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan fikiran, pendapat, bahkan perasaan hatinya tetapi hal sebaliknya akan berlaku jika mereka berasa marah sedih atau kecewa.

Pada dasarnya keperluan manusia yang paling penting adalah keinginan agar perasaannya difahami, didengari, dihargai dan dirinya dapat diterima. Dengan bersedia menerima perasaan remaja, menunjukkan bahawa kita memahami diri mereka dan perkara ini membuatkan mereka rasa diri dihargai. Dengan cara ini mereka akan belajar dan mengetahui bahawa bukan hanya perasaan mereka saja yang penting, tetapi juga perasaan orang lain sama pentingnya.

Bagi memahami perasaan remaja, ibu bapa harus menerima dulu perasaan dan ucapan remaja terutama ketika mereka menghadapi masalah supaya mereka berasa selesa dan ingin meneruskan pembicaraan dengan kita. Perkara ini menjadikan ibu bapa lebih mengerti apa yang sebenarnya dirasakan oleh anak remaja.

Bersikap terbuka dan menerima apa yang ingin mereka luahkan serta pendapat mereka juga penting ketika berkomunikasi tetapi biar ada batasan yang menjadi sempadan agar mereka tidak melampaui kebebasan yang diberikan dan sentiasa bijak menilai setiap tindakan yang mereka ambil agar tidak mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan keluarga.
Syd Hantar pada 3-8-2006 15:33

Komunikasi dengan anak

SEBAHAGIAN besar ibu bapa bersetuju sekiranya dikatakan bahawa adalah sukar untuk berkomunikasi dengan anak-anak remaja. Bagaimanakah untuk membentuk proses komunikasi yang sihat dan berterusan dengan anak-anak remaja?

Terdapat tiga asas utama yang menjadi prasyarat kejayaan proses komunikasi ibu bapa dan remaja: perasaan saling hormat-menghormati, pemberian cinta tanpa syarat dan keanjalan (flexibility) dalam membuat keputusan.

Bukan saya tidak mahu memberikan peluang kepada anak-anak memberikan pendapat, tetapi remaja hari ini sudah tidak tahu bagaimana menghormati kedua ibu bapa, kata Azman, bapa kepada dua orang anak remaja.

Pendapat Azman bukanlah sesuatu yang asing. Kebanyakan ibu bapa merungut mengenai perkara yang sama.

Perlu dinyatakan bahawa hormat-menghormati merupakan satu proses dua-hala. Sekiranya ibu bapa ingin dihormati, mereka terlebih dahulu hendaklah menunjukkan hormat kepada anak-anak. Hormat bukan boleh dipaksa-paksa.

Ibu bapa mungkin secara tidak sedar melakukan perkara-perkara yang membuatkan anak-anak berasa tidak dihormati. Sebagai contoh, ibu bapa secara sewenang mengetepikan pandangan anak-anak.

Dalam banyak hal, ibu bapa membuat keputusan untuk anak-anak tanpa mendapat pandangan mereka terlebih dahulu.

Adakah anda berbincang dengan anak-anak sebelum membuat keputusan untuk keluar makan malam, membeli kereta baru atau bercuti ke satu-satu destinasi pelancongan?

Seringkali, ibu bapa hanya memberitahu anak-anak bilakah mereka akan keluar makan, kereta apakah yang akan dibeli dan di manakah mereka akan bercuti. Jarang sekali ibu bapa mendapatkan pandangan anak-anak sebelum membuat keputusan.

Dalam keadaan ini, remaja merasakan pandangan mereka tidak penting dan mereka tidak dihormati. Akibatnya, mereka juga akan melakukan perkara yang sama kepada ibu bapa.

Tidak hairanlah, remaja juga tidak mendapatkan pandangan ibu bapa dalam banyak hal. Mereka lebih selesa mendapat pandangan rakan sebaya yang dilihat sebagai lebih memahami perasaan mereka.

Untuk mengetahui sama ada anda melayani anak-anak remaja dengan perasaan hormat, tanya soalan berikut: Adakah saya suka sekiranya orang lain melayani saya seperti cara saya melayani anak remaja saya?

Ibu bapa harus menunjukkan kepada anak-anak remaja bahawa mereka disayangi dan dihargai sepanjang masa. Anak-anak remaja akan memberikan yang terbaik dan lebih berjaya sekiranya orang yang hampir seperti ibu bapa sering menunjukkan penghargaan dan cinta kepadanya.

Penghargaan ini harus berlaku sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa memeluk, mencium atau mengucapkan tahniah hanya apabila anak-anak berjaya dalam pelajaran atau mencapai satu-satu kejayaan, anak-anak remaja akan merasai ibu bapa menghargai kejayaan dan bukannya diri mereka. Mereka berasa disayangi hanya apabila berjaya tetapi tidak sebaliknya.
Syd Hantar pada 3-8-2006 17:33

Konflik - Komunikasi dua hala atasi masalah

Anakku Sayang
Oleh Roslah Othman

KOMUNIKASI amat penting dalam kehidupan bermasyarakat terutama dalam sesebuah keluarga. Melalui komunikasi seseorang itu boleh melakukan banyak perkara antaranya memahami individu lain begitu juga sebaliknya, selain berupaya menasihati dan membimbing orang lain.

Menurut Fasilitator Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Puziyah Mohd. Jilis, komunikasi dalam konteks keluarga lebih merujuk kepada pertukaran atau perkongsian maklumat.

``Ini termasuklah mengeluarkan pendapat, menyatakan perasaan kasih sayang, melahirkan kemarahan dan sebagainya di kalangan ahli keluarga,'' ujarnya.

Katanya, komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak lazimnya bertujuan mendidik, membimbing dan memberi kasih sayang.

Sebaiknya, proses komunikasi perlu berlaku secara dua hala bukan sebaliknya. Misalnya, ibu bapa yang ingin menasihati anak remaja seharusnya pada masa yang sama perlu mendengar pandangan si anak.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Ayuh... Kita Bincangkan Bersama pada kursus Menangani Kerenah Remaja anjuran LPPKN, di ibu negara, baru-baru ini.

Puziyah berkata, mendengar dan memberi maklum balas antara satu sama lain dalam sesebuah keluarga adalah tanda kemesraan, interaksi dan sokongan.

Menurutnya, keluarga yang baik komunikasinya akan menyelesaikan pertelingkahan tanpa membiarkan masalah tersebut melarat sehingga sukar diselesaikan.

``Jika perbalahan berterusan, ia akan mencetuskan kesan tidak baik dan mungkin menjejaskan hubungan antara anggota keluarga,'' ujarnya.

Ibu bapa juga kata Puziyah, perlu mengambil inisiatif berkomunikasi dengan anak remaja mengenai pelbagai perkara, bukan hanya terhad kepada aspek pelajaran atau keperluan asas mereka sahaja.

``Strategi sebegini penting agar wujud sikap keterbukaan, persefahaman dan keakraban di antara ibu bapa dengan anak remaja,'' ujarnya.

Malah menurut beliau, terdapat kajian menunjukkan bahawa banyak kes gejala sosial remaja berputik daripada kegagalan ibu bapa itu sendiri berkomunikasi dengan si anak.

Ini termasuklah kegagalan mereka dari segi meluahkan kasih sayang, menerangkan peraturan dan pengharapan keluarga, nilai-nilai murni, pemilihan rakan, aktiviti harian dan sebagainya.

Beliau juga berkata, proses komunikasi antara anggota keluarga sering bercampur-aduk dengan masalah-masalah lain. Umpamanya, ibu bapa mungkin mendapati waktu makan adalah satu-satunya masa sesuai untuk bertanya soalan, berkongsi peraturan baru dan mengulangi peraturan terdahulu yang sering diabaikan.

``Anak-anak pula mungkin mengemukakan senarai tuntutan baru dan hanya berkongsi sambil lewa apa yang berlaku dalam kehidupan keluarga itu.

``Malangnya dalam keadaan komunikasi secara terbuka ini tidak mungkin senario yang diharapkan dalam sesebuah keluarga yang intim dan mesra wujud. Waktu makan yang sepatutnya menjadi suatu masa untuk semua berhadapan dengan sajian dalam suasana tenteram bertukar menjadi sebaliknya,'' ujarnya.

Kadangkala ia bertukar menjadi medan melepaskan kekecewaan dan maki hamun kerana ibu bapa mungkin terdorong menggunakan masa berkenaan meleteri atau memarahi anak-anak.

Sementara itu, Ketua Jururawat LPPKN, Datin Norainee Abdul Rahim dalam ceramahnya berkata, ibu bapa kadang-kala tidak sedar bahawa mereka kurang berinteraksi atau bermesra apabila anak mula meningkat dewasa.

``Pada peringkat anak mula memasuki alam remaja mereka akan mengalami perubahan dari segi fizikal dan emosi.

``Mereka mula kurang bercakap dengan ibu bapa, sebaliknya lebih senang menjadikan rakan sebaya sebagai tempat berkongsi masalah atau pandangan,'' katanya dalam ceramahnya yang bertajuk Dekati dan Fahami Kami.

Menurutnya, kekurangan interaksi ini akan menyulitkan ibu bapa meneruskan tanggungjawab membina peribadi remaja itu sendiri. Namun pada masa yang sama ada sesetengah ibu bapa yang masih berinteraksi dengan anak remaja seolah-olah anak mereka masih kanak-kanak.

``Pola interaksi sebegini hanya akan menyulitkan lagi tugas ibu bapa mendidik anak remaja. Oleh itu ibu bapa perlu memerhatikan gelagat serta sering berbincang dengan mereka mengenai pelbagai perkara.

``Melalui interaksi yang kerap, insya-Allah ibu bapa akan lebih mudah memahami serta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan adanya persefahaman antara keduanya,'' tegas Norainee.
Syd Hantar pada 4-9-2006 15:03

Permata Hati: Latih anak cara berkomunikasi
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


Jamaliah puas hati tiga cahaya mata ceburi sukan luncur ais

MENDIDIK anak bukan kerja main-main. Tanggapan bahawa tugas ibu mendidik anak semata-mata juga tidak boleh dipakai dalam konteks hari ini yang mana suami isteri bekerja.

Segelintir suami yang hanya menyerahkan tugas menguruskan rumah tangga, khususnya mendidik anak ke bahu isteri semata-mata boleh membuat anak keliru dengan fungsi keibubapaan. Manakan tidak, ibu yang juga bekerja masih mampu melaksanakan tugas di rumah dengan senyuman memberikan perhatian kepada cahaya mata, sedangkan bapa pulang mengurus diri sendiri.

Pasangan Jamaliah Mohammed dan Zainol Kamal Noordin, bertuah kerana bahtera mereka layari menuju destinasi impian apabila ketiga-tiga anaknya, Mohammed Afiq, 21; Nur Yasmin, 20 dan Mohammed Alif, 16, selesa sebagai peluncur hoki ais negara.

?Inilah yang dikatakan rezeki,? katanya tersenyum ketika ditemui baru-baru ini. Bagaimanapun kehadiran mereka tidak cukup serinya kerana putera sulungnya tidak dapat hadir kerana memulakan hari pertama sebagai pekerja di sebuah syarikat swasta.

Realitinya, Jamaliah dan suaminya puas sudah menghantar anak mereka ke pelbagai kelas dan kemahiran untuk mencari minat sebenar mereka, seperti berkuda, golf dan komunikasi, namun tidak menimbulkan seronok dalam diri tiga permata hatinya itu.

?Seperti golf, Alif pernah berkata, ia panas. Ada saja alasan yang mereka berikan. Justeru, saya tahu minat mereka tiada. Saya pula ingin supaya anak memiliki kemahiran tertentu supaya mereka memanfaatkan masa terluang dengan perkara berfaedah.

?Risau memikirkan gejala sosial hari ini akibat remaja tidak tahu apa aktiviti bermanfaat menjadikan waktu terluang diisi dengan perkara kurang manis. Jauh di sudut hati saya biarlah anak meminati perkara sama supaya mereka boleh menjaga diri masing-masing pada waktu ketiadaan saya dan ayahnya.

?Pernah satu ketika dalam suatu permainan, si abang terjatuh, dua lagi adik beradik yang lain terus menerpa bagi memberi bantuan. Begitu juga dalam satu kemalangan kecil yang membabitkan mereka bertiga, hanya menerusi panggilan telefon saya jelaskan apa yang seharusnya dilakukan. Saya selalu berpesan kepada bahawa mereka berkerja secara kumpulan, oleh itu perhatikan antara satu sama lain,? katanya.

Walaupun, kadangkala anak memiliki minat yang berlainan, tetapi Jamaliah melihat pembabitan mereka dalam bidang sama sebagai satu bonus. Sebagai ibu bapa, beliau akui tidak boleh pula melepaskan mereka begitu saja sebaliknya perlu mengikuti setiap perkembangan.

?Saya yang menjadi penunggu setia menyaksikan perlawanan serta latihan mereka setiap tengah malam, perlu tahu apa yang mereka lakukan. Saya juga selalu berbual atau memberikan komen kepada mereka, tidak kira dalam kereta atau di rumah. Secara tidak langsung kita berkomunikasi,? katanya.

Beliau berkata, komunikasi dengan anak perlu dipupuk, bukan dibiarkan begitu saja. Padanya, lelaki tidak semestinya perlu pendiam dan wanita mesti ?kuat bercakap?. Justeru, beliau selalu menggalakkan anak lelakinya ?bercakap? atau sekurang-kurangnya bijak melahirkan pandangan.

?Kini Alif semakin bijak berkomunikasi. Saya selalu bertanya dan bertanya lagi supaya mulutnya ?lebih ringan?. Kadangkala pendiam sangat tidak bagus kerana kita tidak tahu isi hatinya. Ada orang yang gemar menyertai drama atau pidato, itu terpulang kepada minat masing-masing.

?Tetapi saya pula memilih sukan kerana pada pandangan saya ia membentuk keyakinan diri dan berani, saya juga ketika di sekolah dulu tangkas dalam sukan hoki, mungkin minat itu sudah terarah ke situ,? katanya tersenyum.

Mengulas mengenai pembabitan dalam sukan luncur ais, Jamaliah berkata, ketika menuntut di Amerika Syarikat (AS) dulu, anaknya amat meminati kumpulan hoki ais ?Mighty Duck?. Namun, sekembali ke Malaysia pada akhir 90-an, Yasmin melihat rakannya menyertai sukan berkenaan lantas ingin turut serta.

Bermula detik itulah mereka bertiga membabitkan diri dalam luncur air sehingga terpilih sebagai peluncur ais negara.

Bagaimanapun, Yasmin dan Alif, setuju menyatakan sukan berkenaan membuatkan diri mereka bagaikan berada dalam dunia fantasi, seronok dan segala tekanan bagaikan hilang setiap kali meluncur, atas ais yang sejuk membeku.

?Perasaan seronok muncul bila menjejakkan kaki ke padang ais ini. Walaupun sesi latihan selalunya bermula tengah malam membawa ke dinihari, tetapi saya seronok dan bagaikan tidak sabar untuk meluncur. Sejak menyertai sukan ini perkara paling saya seronok kerana keyakinan diri semakin meningkat. Saya mula sedar, diri ini punyai kelebihan yang boleh digilap,? kata Alif, yang turut dipersetujui kakaknya.

Antara kejohanan disertai mereka termasuklah Singapore Tournament (2003); World Ais Hockey 5?s (2005) dan World Ais Hockey 5?s (2006).

Jamaliah yang kini berkerja sendiri berkata, hampir 20 tahun kerja ?makan gaji? menjadikan dirinya bagaikan ?terlepas? melihat anak membesar depan mata. Memanfaatkan waktu yang ?terbuang? dulu, Jamaliah bertekad untuk melakukan yang terbaik buat anaknya.

?Saya bukanlah pula jenis manusia yang menuruti apa saja kemahuan anak. Untuk membeli kayu hoki ini pun saya membuat ?perjanjian? dengan mereka seperti selesaikan kerja rumah dulu, pastikan pelajaran tidak terganggu dan sebagainya. Kata orang ?win win situation?.

?Saya pun bukan dari golongan kaya raya. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, wang diperuntukkan kepada anak sudah agak besar. Justeru peruntukan untuk saya sendiri seperti baju mahal atau beg tangan berjenama, tolaklah ke tepi. Itulah harga yang perlu kita bayar tetapi asalkan kami sekeluarga bersetuju, tiada duka di sebalik pengorbanan itu,? katanya.

Menjadikan buku ?How to built up an intelligent child?, Jamaliah meminjam kata-kata penulis buku itu bahawa setiap ibu bapa perlu meluangkan masa mengenal potensi, kekuatan serta keinginan anak kerana tanpa sokongan ia ibarat sampan yang tidak berkemudi, dan katanya, dia cuba melaksanakannya.
Muka surat: [1] Versi Penuh: Pentingnya Komunikasi dengan Anak-anak
http://forum.cari.com.my/archiver/?tid-211600.html

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SANAH HELWA YA ZAUJI HABIBI..

apa itu Kelab Setia?

feqh muamalat